February 2, 2010 7:06 AM
entri ini di post atas permintaan cik suzilawatie..tq
Dari Kau Saja Bah...
‘Keseronokan’ ketika usia muda secara diam-diam membuahkan bahana pembawa sengsara sepanjang hayat, terutama bagi wanita yang segan dan liat menjalani pemeriksaan kesihatan.
Kanser serviks, antara penyakit yang bersarang dalam diam, bukan lagi hak mutlak wanita berusia melebihi 40 tahun kerana pendedahan terlalu awal kepada aktiviti seksual di kalangan kebanyakan remaja kini mendedahkan mereka kepada jangkitan virus human papilloma (HPV).
Remaja yang memulakan hubungan seksual, terutama ketika masih di bangku sekolah (dan pasti di luar ikatan perkahwinan) secara tidak langsung ‘merelakan’ virus ini membiak dalam tubuh mereka.
Walaupun tiada statistik, tetapi kegiatan seksual di luar perkahwinan di kalangan remaja kita seolah-olah menjadi fenomena biasa. Kes pembuangan bayi akibat kehamilan yang tidak dikehendaki menjadi bukti kukuh yang boleh meningkatkan catatan kes kanser serviks.
Walaupun secara umum kanser serviks menyerang wanita berusia 40 tahun ke atas, tetapi remaja aktif seks turut berisiko tinggi mengalami penyakit sama.Malangnya, ramai golongan muda tidak menganggap kanser serviks sebagai masalah mereka kerana penyakit ini mengambil masa lebih kurang 20 tahun untuk menampakkan kesan.
Inilah masalahnya. Kanser serviks bertindak tanpa disedari dan hanya menunjukkan simptom pada peringkat serius, terutama apabila pesakit mula mengalami pendarahan tidak normal di antara waktu haid, selepas mengadakan hubungan seks, selepas menopaus, keluar cecair berbau busuk dari vagina dan pendarahan bertambah banyak pada peringkat lewat.
Kajian menunjukkan 50% daripada 500,000 kehidupan pesakit kanser wanita berakhir dengan kematian akibat lewat mendapat rawatan dan 12 peratus daripada jumlah ini disebabkan serangan kanser serviks.
Kanser serviks adalah penyakit paling biasa yang menyerang organ pembiakan wanita. Ia lazimnya disebabkan jangkitan virus yang merebak melalui aktiviti seksual.
Hampir 99% pesakit kanser serviks mengalami masalah atau jangkitan HPV yang juga dipanggil virus ketuat pada salur kemaluan. Wanita yang dijangkiti HPV berdepan 30 hingga 50 kali risiko mendapat kanser kerana ia melemahkan sistem imun badan.
Ujian Pap Smear
Bagaimanapun, jangkitan HPV adalah masalah biasa dan ia dialami hampir 20 peratus penduduk dunia, termasuk individu yang kurang menjaga kebersihan diri serta kuat merokok.
Apabila terdedah kepada virus ini, sistem imun badan akan bertindak supaya HPV tidak mendatangkan bahaya kepada wanita. Namun pada sesetengah wanita, virus ini boleh hidup bertahun-tahun sebelum menunjukkan taringnya dengan ‘mengubah’ sel normal pada permukaan serviks kepada sel tidak normal (displasia).
Sel-sel displasia ini, jika tidak dibuang, akan secara perlahan-lahan membiak dan bertukar kepada sel kanser. Justeru, penting bagi setiap wanita yang pernah mengadakan hubungan seks dan sudah berkahwin mengambil langkah pencegahan melalui pemeriksaan pap smear atau ujian DNA-HPV.
Jika ujian pap smear menunjukkan keputusan positif kehadiran HPV, wanita berkenaan perlu menjalani ujian ini setiap tahun dan mengambil ubat kerana virus ini sukar dibunuh. Jika keputusan negatif, pemeriksaan pap smear berikutnya hanya perlu dilakukan tiga tahun berikutnya.
Ujian pap smear mengesan kehadiran sel tidak normal pada permukaan luar serviks. Jika tidak dirawat, sel tidak normal ini akan bertukar kepada sel kanser yang boleh merebak ke lapisan sel serviks yang lebih dalam, vagina atas, pelvik dan anggota badan lain.
Pada peringkat ini, sel berkenaan tidak berbahaya kerana sel tidak normal ini sebenarnya mengambil masa lama untuk bertukar kepada sel kanser tetapi ia perlu dibuang segera.
Ujian DNA-HPA pula 95 peratus tepat dan mampu mengesan kelainan pada lapisan sel serviks tidak normal tetapi bukan kanser pada lapisan lebih dalam. Semua sel tidak normal ini juga perlu dibuang sebelum ia merebak menjangkiti keseluruhan serviks.
Walaupun terbukti jauh lebih tepat dan mampu mengesan 13 jenis HPV berbahaya pencetus kanser, tetapi ia bukan penggantian pap smear kerana biasanya ujian DNA-HPV tidak dijalankan ke atas wanita di bawah umur 30 tahun.
Jika lewat dikesan, doktor biasanya terpaksa membuang seluruh serviks dan uterus. Ini bermakna, selepas pembedahan, wanita berkenaan tiada peluang mendapatkan anak lagi.
Namun, bukan semua orang layak menjalani pembedahan. Wanita tua dan tidak kuat untuk pembedahan akan dirawat menggunakan kaedah kemo serta radioterapi.
Pesakit masih belum bebas daripada kanser walaupun semua bahagian serviksnya dibuang. Hanya mereka yang berjaya melepasi tempoh lima tahun tanpa serangan kanser berbalik dikategorikan benar-benar bebas daripada kanser.
Justeru, ujian pap smear perlu dijalankan sepanjang hayat, walaupun umur melangkau 60 tahun.